Input your search keywords and press Enter.

SOP OH SOP

Oleh Rafisha Ramly

Impian untuk pulang ke kampung halaman nampaknya tertangguh lagi akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan kepada beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Penularan kes semakin menjadi-jadi di Malaysia kerana COVID-19 telah berada di dalam komuniti berdasarkan kluster-kluster baharu dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

SOP sedia ada menjadi semakin rumit apabila SOP PKPB pula diperkenalkan selaras dengan pelaksanaan PKPB. Persoalan demi persoalan dilontarkan lantaran SOP PKPB didapati sentiasa berubah, tidak konsisten dan menimbulkan kekeliruan. Hakikatnya, SOP PKPB ini cuba merealisasikan hasrat untuk membenarkan sektor ekonomi beroperasi namun menghadkan aktiviti sosial. Keputusan yang sukar ini dibuat kerana melibatkan perhimpunan orang ramai dan menyukarkan kawalan pergerakan. Maka inilah permulaan persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat.

Sektor sosial manakah yang dibenarkan dan tidak dibenarkan menjadi perdebatan memandangkan terdapat aktiviti ekonomi di setiap sektor tersebut yang juga merupakan sumber pendapatan bagi pekerja di sektor berkenaan. Aktiviti mana yang perlu diberi perhatian, adakah memenuhi kehendak rakyat dan industri atau memenuhi hasrat KKM iaitu mengurangkan pergerakan dan melandaikan lengkungan? Mengapa SOP PKPB longgar memandangkan kes semakin meningkat dan tidak menunjukkan perubahan?

Tiada SOP yang sempurna. Persoalan dan perdebatan dilihat tiada penghujungnya memandangkan SOP sentiasa berubah. Kelonggaran perlu diberikan bagi membolehkan aktiviti sosial yang terjejas dapat beroperasi dengan syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. Perubahan SOP adalah berdasarkan keadaan semasa penularan COVID-19 dan akan sentiasa berlaku memandangkan COVID-19 tidak akan hilang dalam tempoh masa yang singkat.

Rakyat terpaksa hidup dengan COVID-19 seperti mana denggi yang sudah berada dalam komuniti. Hanya langkah-langkah pencegahan melalui amalan 3W dan elakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) yang menjadi budaya baharu mampu menjadi vaksin yang berkesan buat masa ini. PKPB mungkin tidak lagi perlu dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri yang tinggi seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.