M Update, 25/11/2020 – Berkuat kuasa hari ini, semua pengembara yang tiba dari Sabah perlu menjalani saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain melalui pintu masuk utama, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Keputusan terbaharu itu dibuat berdasarkan keadaan semasa dan diputuskan ketika mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang berlangsung semalam. Ini berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan, kes COVID-19 di Sabah kini menunjukkan trend penurunan berbanding trend yang dilaporkan di negeri di Semenanjung Malaysia terutama sekitar Lembah Klang.
Mengambil kira situasi semasa ini dan setelah satu bulan setengah pelaksanaannya, semakan semula ke atas prosedur saringan COVID-19 dan prosedur kuarantin wajib bagi mereka yang tiba dari Sabah di Pintu Masuk Negara telah dijalankan oleh KKM.
Sekiranya pengembara positif ujian pengesanan COVID-19 atau bergejala, mereka tidak akan dibenar meneruskan perjalanan keluar dari Sabah dan akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan serta pemantauan. Manakala, bagi pengembara yang dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.