Input your search keywords and press Enter.

Pasukan Perubatan Peribadi Sultan Johor Bantu Mangsa Kemalangan

Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor membantu mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Pelangi, Johor Bahru. 

M Update, 3/12/2020 – Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberikan rawatan kecemasan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Pasir Pelangi, pagi tadi.

Anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan yang ketika itu dalam penugasan mengiringi baginda, memberhentikan ambulans untuk memberikan rawatan kepada mangsa sebaik melihat kemalangan itu.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasmi Sultan Johor, baginda bertitah, sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan supaya membantu mereka yang memerlukan.

“Saya pesan kepada mereka, semasa bertugas mengiringi jika berlaku apa-apa kemalangan kepada orang awam, segera membantu dan juga berikan bantuan yang sewajarnya.

“Dalam keadaan sebegini, lupakan saya, segera bantu mereka yang memerlukan bantuan,” titah baginda.

Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan susulan.

Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik.

Ia termasuk peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya.