Input your search keywords and press Enter.

Pinjaman PTPTN Mahasiswa M40 (M1) Dinaikkan Kepada 100 Peratus

M Update, 15/09/2022 – Kerajaan menaikkan peratusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mahasiswa golongan M40 kategori M1 daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Serentak itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN daripada golongan M40.

Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju memperluas Jualan Murah Keluarga Malaysia yang akan diadakan di setiap universiti selepas mahasiswa dijadualkan menjalani semester baharu, bulan depan.

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup ditanggung mahasiswa golongan M40 kategori M1.

“Kalau dulu pinjaman (PTPTN) kepada (mahasiswa) M40 (kategori) M1 hanyalah 75 peratus sahaja. Saya ingin mengumumkan pinjaman M40 (kategori) M1 dinaikkan kepada 100 peratus.

“Seterusnya adalah untuk laptop, kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN golongan M40.

“Mahasiswa sekalian, banyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan anda semua. Marilah kita sama-sama berganding bahu dengan merealisasikan masa depan lebih gemilang untuk semua mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini. – Berita Harian