Input your search keywords and press Enter.

PDRM Tahan 9 Individu Tunggang Motosikal Lawan Arus

Polis Diraja Malaysia.

M Update, 4/12/2020 – Polis menahan sembilan individu termasuk seorang penghantar makanan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melawan arus di Petaling Jaya, semalam.

Menerusi Op Khas E-Hailing bermula jam 11.30 pagi hingga 6 petang itu, sembilan pegawai dan 47 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman ditugaskan membuat pemantauan bagi mengesan kesalahan kenderaan melanggar lampu isyarat merah.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman)

JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata hasil pemantauan, pihaknya menahan enam lelaki tempatan, Indonesia (dua) dan Bangladesh (seorang) berusia antara 18 hingga 35 tahun.

“Op Khas E-Hailing itu memfokuskan di Persimpangan 3 Hospital Thompson, Persiaran Surian dan Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Kita juga keluarkan sebanyak 16 saman atas pelbagai kesalahan trafik terhadap penunggang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai penghantar makanan terbabit, Mohd Nadzri berkata, penunggang motosikal itu melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan melawan arus sejauh 60 meter di Jalan Persiaran Surian dekat Palm Spring @Damansara.

“Siasatan awal mendapati penunggang itu tidak mempunyai lesen e-hailing dan lesen memandu kelas B2,” katanya.

Semua individu terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan 1987.