Input your search keywords and press Enter.

Semua Masjid & Surau Di Kawasan PKPD Di Kelantan Tutup

M Update, 7/12/2020 – Kesemua masjid, surau dan musolla yang terletak berdekatan kawasan Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berikutan Kluster Huma diarahkan tutup sehingga satu tarikh yang akan diberitahu nanti.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pada masa sama, arahan penutupan surau dan musolla yang terletak dalam kawasan Kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih diteruskan sehingga suatu tarikh yang diberitahu.

Beliau berkata, bagaimanapun, empat jajahan di negeri ini iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid dan surau, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan sebelum ini, berkuatkuasa bermula hari ini hingga 20 Disember.

“Bagi jajahan Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang, solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid serta surau adalah dibenarkan beroperasi sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah diumumkan oleh pihak kerajaan.

“Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.