Input your search keywords and press Enter.

Parlimen : KKM Tingkat Kapasiti Hospital, Bendung Penularan COVID-19 Di Sabah

Gambar Hiasan.

M Update, 9/12/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) telah meningkatkan kapasiti katil di hospital COVID-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC), katil Unit Rawatan Rapi (ICU), kapasiti ujian makmal serta mobilisasi sumber manusia bagi memastikan sistem rawatan kesihatan di Sabah terus mampan dalam membendung COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata sehingga 7 Dis, Sabah mempunyai lapan hospital COVID-19 dan 36 PKRC, dengan jumlah katil meningkat kepada 7,031 katil dengan tahap penggunaan kini adalah 30 peratus.

“Katil ICU juga ditambah daripada 60 katil pada September tahun ini, sekarang sudah meningkat kepada 130 katil. Kita juga meningkatkan jumlah ventiliator di Sabah dan penggunaan ventilator daripada 193 (ventilator) cuma 32 peratus.

“Kapasiti ujian makmal juga dipertingkatkan. Sekarang di Sabah kita dapat membuat ujian dalam lingkungan 2,600 dan dalam empat atau lima buah hospital telah dilengkapkan dengan makmal,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai tahap kesiapsiagaan dan tindakan yang diambil dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 serta menangani  rawatan pesakit yang meruncing di Sabah.

Ma’mun juga ingin tahu sama ada kelengkapan peralatan perubatan dan ubat-ubatan di pusat-pusat kesihatan seperti hospital serta bilangan kakitangan kesihatan mencukupi dalam menghadapi krisis wabak COVID-19 di seluruh Sabah.

Aaron berkata sehingga 6 Dis, sejumlah 2,023 petugas kesihatan dimobilisasi dari seluruh negara termasuk dari kawasan pedalaman Sabah bagi membantu usaha saringan di lapangan dan rawatan perubatan.

Selain itu, aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambah baik bagi membolehkan keputusan ujian dapat diperoleh dengan cepat.

Kerajaan turut mengambil pelbagai langkah lain bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi mengawal penularan aktif COVID-19 dengan mempertingkatkan aktiviti pengesanan kes dan kontak secara aktif di lapangan, memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta penggunaan aplikasi MySejahtera, katanya.