Input your search keywords and press Enter.

1,355 Tahanan Di Depot Tahanan Imigresen Positif COVID-19

M Update, 9/12/2020 – Seramai 1,355 tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DPI) Jabatan Imigresen Malaysia disahkan positif COVID-19 setakat semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata berdasarkan statistik sejak 29 Ogos lalu, DPI Bukit Jalil mencatatkan jumlah positif COVID-19 paling ramai iaitu 650 tahanan.

“Dalam tempoh sama juga, DPI Langkap mencatatkan jumlah tahanan positif COVID-19 seramai 481 orang diikuti DPI Semenyih (127), DPI KLIA (77) dan baki 20 tahanan lagi di DPI Belantik, Putrajaya, Lenggeng dan Juru.

“Dalam tempoh sama juga, DPI Langkap mencatatkan jumlah tahanan positif COVID-19 seramai 481 orang diikuti DPI Semenyih (127), DPI KLIA (77) dan baki 20 tahanan lagi di DPI Belantik, Putrajaya, Lenggeng dan Juru.

“Bagi statistik banduan di penjara pula, daripada 60,583 orang yang disaring bermula 29 Ogos hingga semalam, seramai 829 disahkan positif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan jumlah pesakit COVID-19 dalam kalangan penghuni penjara dan tahanan imigresen.

Menjawab soalan tambahan Dr Boon Chye berhubung pematuhan SOP diamalkan petugas agensi di bawah KDN menangani banduan serta tahanan, Ismail berkata, pematuhan SOP itu berdasarkan dua keadaan iaitu proses ketika menerima serta mengeluarkan banduan, tahanan untuk mendapatkan rawatan atau ke mahkamah.

“Sebagai contoh di penjara, kita mengamalkan proses 14 hari iaitu lima hari banduan itu diasingkan di dalam bilik tahanan sementara menunggu keputusan ujian saringan.

“Jika positif, banduan itu dihantar terus ke hospital dan jika negatif, akan dihantar semula ke bilik pengasingan selama sembilan hari. Selepas 14 hari masih disahkan negatif, barulah banduan itu dihantar semula ke penjara,” katanya.

Beliau berkata, SOP sama diguna pakai di DPI manakala bagi tahanan di lokap, amalan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi terutama ketika membawa orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah.

“Kita sentiasa memastikan penjarakan fizikal dan penggunaan gari. Kalau tidak ada keperluan mendesak, kita gari secara individu dan kalau ada keperluan mendesak, kita gari dengan jarak satu meter antara OKT,” katanya.