Input your search keywords and press Enter.

Ambil Tindakan Segera Terhadap Pemalsuan Saringan COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

M Update, 17/12/2020 – Pengurusan klinik dan hospital swasta diminta segera membuat laporan polis, jika mengesan sebarang kegiatan pemalsuan terhadap keputusan saringan COVID-19 yang dikendalikan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan memburu dalang di sebalik perbuatan jenayah itu.

“Untuk maklumat lanjut berkaitan isu berbangkit, orang awam boleh merujuk Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya pada BH, hari ini.

Semalam, sebuah klinik swasta di Rawang mengesan kegiatan itu yang dijalankan klinik terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan, dilaporkan berkata semakan pihaknya mendapati pemalsuan ke atas laporan keputusan ujian saringan itu membabitkan pekerja di syarikat subkontraktor yang berurusan dengan pihak kerajaan dan swasta.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pula dipetik berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung perkara itu pada Jun lalu.

Polis kini sedang mengesan suspek serta pihak yang memberikan laporan keputusan asal untuk disalah gunakan oleh suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.