Input your search keywords and press Enter.

Keberkesanan Vaksin Pfizer 95 Peratus

M Update, 17/12/2020 – Pemilihan vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata laporan itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Dis lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu. 

“Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di sini.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Pengumuman mengenai perkara itu dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung kos, keberkesanan, liputan vaksin serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu, selain penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer.