Input your search keywords and press Enter.

PM Ziarah Mangsa Banjir Di Kelantan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiba di Rantau Panjang, Kelantan pagi tadi bagi melawat mangsa banjir. 

M Update, 22/12/2020 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa kira-kira satu jam melawat mangsa banjir di Kelantan yang dilanda bencana itu sejak minggu lalu.

Muhyiddin yang tiba jam 10 pagi dengan helikopter dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak, Rantau Panjang , mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Sejurus tiba, Muhyiddin mendengar taklimat kira-kira 30 minit yang disampaikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Noor Mohamed Nik Ishak di SK Gual Tinggi yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan kepada 154 mangsa banjir membabitkan 59 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Perdana Menteri turut bergambar dengan pasukan barisan hadapan yang bertugas di PPS berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya berlepas kira-kira jam 11 pagi untuk melawat mangsa banjir di Kemaman, Terengganu.

Sehingga jam 9 pagi ini, seramai 1,065 mangsa banjir di Kelantan dipindahkan di 14 PPS membabitkan 389 keluarga.

Semua mangsa banjir berkenaan adalah dari dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah.