Input your search keywords and press Enter.

Bekas PAT, Tan Sri Mohd Ghazali Meninggal Dunia

Foto : NST

M Update, 08/07/2021 – Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, semalam.

Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC) dalam kenyataan menerusi Facebook malam semalam berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang semalam.

“Urusan jenazah Allahyarham di Masjid Khalid Al-Walid, Kementah Kuala Lumpur malam tadi. Pengebumian dijadualkan di Tanah Perkuburan AU Keramat, di sini, selepas solat Subuh. Ziarah terhad kepada keluarga rapat saja.

“Ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh Allahyarham diberkati dan dirahmati Allah serta diletakkan bersama golongan syuhada dan solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Mohd Ghazali memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat dari 1984 hingga 1985 dan kemudian dilantik Panglima Angkatan Tentera selama tiga tahun berakhir 1987. Selepas bersara, Mohd Ghazali pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd dan Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP). _BH Online