Input your search keywords and press Enter.

Setakat 22 Dis 2020 : PGA Sarawak Catat Rampasan Bernilai RM38 Juta

M Update, 23/12/2020 – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya mencatatkan jumlah rampasan bernilai RM38,152,622 menerusi 162 kes daripada operasi yang dilakukan bagi tempoh antara 1 Jan hingga 22 Dis tahun ini.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata dalam tempoh yang sama, seramai 453 tangkapan turut dibuat melibatkan 197 warga tempatan dan 256 pendatang tanpa izin.

“Statistik kejayaan ini merangkumi kejayaan 11 kes tolak rasuah (dengan cubaan suapan) bernilai RM57,850 melibatkan tangkapan seramai 12 orang yang terdiri daripada sembilan warga tempatan dan tiga pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tiga kejayaan terbaharu melibatkan kes membawa masuk pendatang tanpa izin, penyeludupan dan pemilikan haiwan eksotik terlindung sepenuhnya, iaitu kes pertama melibatkan penangkapan seorang lelaki tempatan dan enam pendatang tanpa izin di dalam sebuah kereta di daerah Serian pada Isnin lepas.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki warganegara tempatan itu merupakan pemandu kenderaan tersebut membawa empat lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga Indonesia, yang telah gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran masuk yang sah ke Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Mancha turut menyatakan dua kejayaan briged itu semalam, satu daripadanya melibatkan rampasan 16 ekor spesies burung dan ayam terlindung sepenuhnya di sebuah premis di sini yang dianggarkan bernilai RM303,000.

“Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan dalam kes ini selepas disyaki memiliki lapan ekor burung kakaktua pelbagai spesies, empat ekor itik spesies Whistling dan empat ekor ayam spesies Ring Neck Pheasant yang dipercayai dibawa masuk dari luar negeri,” katanya.

Satu lagi kes semalam melibatkan tiga lelaki warga tempatan dan dua warga Indonesia yang cuba menyeludup 11 kotak bahagian ayam beku, 1,240 kotak sosej ayam dan 11 kotak sarang burung walit yang dimuatkan di dalam tiga kenderaan berdekatan Kampung Raso di daerah Lundu.

Menurutnya semasa pemeriksaan dijalankan, seorang daripada suspek yang ditahan telah mendekati ketua serbuan PGA itu dan menawarkan wang tunai berjumlah RM1,850 untuk memujuknya melepaskan mereka, namun tawaran itu ditolak dan lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,034,482 merangkumi nilai rampasan barangan, kenderaan yang digunakan dan nilai suapan,” katanya.