Input your search keywords and press Enter.

PKPD Di 3 Kawasan Bermula Hari Ini – Ismail Sabri

M Update, 28/12/2020 – Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini hingga 10 Jan depan di tiga kawasan, masing-masing melibatkan dua zon di Johor dan satu di Negeri Sembilan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu melibatkan Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru dan Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor (yang menempatkan tahanan positif COVID-19) serta Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan peningkatan kes COVID-19 di lokaliti tersebut sekali gus mencegah penularan kes.

“Di pusat koreksional, KKM mengesahkan terdapat lapan kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam masa lapan hari iaitu bermula 16 sehingga 23 Dis lepas.

“Kes-kes ini dikesan semasa Orang Kena Tuduh (OKT) hadir bicara mahkamah di daerah lain. Terdapat seramai 685 orang dalam kalangan OKT dan kakitangan di PKJ yang terdedah kepada lapan kes positif tersebut,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.  

PKPD itu akan membabitkan 937 tahanan, 322 anggota dan 128 ahli keluarga yang tinggal di kuarters meliputi 102 unit rumah.

Bagi PKPD di sebuah dewan di Mukim Kota Tinggi, katanya, KKM melaporkan terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 dikesan dalam kalangan tahanan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan hasil saringan mendapati 125 kes positif COVID-19.

“Oleh itu, PKPD akan dilaksana di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, untuk menempatkan kesemua tahanan yang positif COVID-19 dari Lokap IPD Kota Tinggi,” katanya. 

Sementara itu, katanya PKPD di Penjara Jelebu dilaksana berikutan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 yang melibatkan tahanan dan kakitangan di penjara dan kuarters kakitangan penjara itu.

“Sehingga 22 Dis, KKM telah melaksanakan 1,086 ujian saringan dan sebanyak 307 kes positif COVID-19 telah direkodkan iaitu 305 kes dalam kalangan OKT dan dua kes wadar,” katanya.

Ismail Sabri juga mengingatkan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara berkenaan sama seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan.