Input your search keywords and press Enter.

Bekalan Air Di 6 Kawasan Hulu Selangor Pulih Esok

M Update, 04/01/2021 – Bekalan air di dua kawasan wilayah Hulu Selangor susulan henti tugas loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek disebabkan banjir kelmarin, pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata enam kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

Katanya, kawasan terbabit merangkumi Kampung Bahom, Kampung Gesir Tengah, Kampung Lalang, Kampung Orang Asli, Kampung Sekolah (Kuarters Klinik) dan Kampung Sungai Nilam (Seri Pagi).

“Kami menjangkakan bekalan air di semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya pada jam 7 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bantuan bekalan air melalui lori tangki masih digerakkan kepada pengguna terjejas.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden dan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.