Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Mangsa Banjir Di Pahang Meningkat Kepada 17,129

M Update, 05/01/2021 – Seramai 17,129 mangsa daripada 4,398 keluarga kini berada di 243 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah di negeri ini setakat 8.28 pagi, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 14,616 mangsa daripada 3,891 keluarga yang dipindahkan ke 208 PPS pada 9 malam tadi.

Berdasarkan rekod, sebanyak 44 PPS dibuka di Raub, diikuti Lipis (42), Jerantut (37), Temerloh (24), Rompin (10), Pekan (sembilan), Bera (enam) dan Bentong (tiga).

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan sebanyak sembilan sungai masih melepasi paras berbahaya pagi ini, berbanding 11 sungai, semalam.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai di Bukit Betong dan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut.

Selain itu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan

Dua sungai yang melepasi paras amaran pula ialah Sungai Pahang (Lubuk Oasu) di Temerloh (Lubuk Pasu) dan Sungai Triang, Triang manakala Sungai Belat di Sri Damai, di sini, berada pada paras berjaga-jaga.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut, hari ini.

Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang sehingga Khamis ini.