M Update, 07/01/2021 – Tiga buah bot sumbangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) tiga tahun lepas ternyata sangat berharga dan kini menjadi ‘talian hayat’ bagi masyarakat Orang Asli terutama ketika musim banjir.
Hadin Awang, seorang anggota masyarakat Orang Asli dari Kuala Sengka, dekat sini, berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan yang diberikan itu kerana ia menjadi penyelamat bagi penduduk kampungnya.
“Bot berenjin sumbangan kerajaan inilah yang menjadi ‘nyawa kedua’ kami terutamanya pada musim banjir.
“Satu sen pun kami tidak perlu bayar untuk memiliki bot yang akhirnya menjadi kegunaan bersama kami sekampung,” katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan bekalan makanan kering daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JAKOA dengan dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata banjir yang melanda sejak Sabtu lepas mengakibatkan jalan keluar masuk yang menghubungkan penduduk kampung itu dengan jalan utama dinaiki air setinggi 2.74 meter, sekali gus terputus hubungan dengan kedai-kedai berhampiran.
Katanya, kedai berkenaan turut terputus bekalan makanan dan keperluan asas lain memandangkan jalan raya utama digenangi air berlumpur dan tanah runtuh.
“Kami menggunakan bot ini untuk menyeberangi ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir untuk mendapatkan sedikit bekalan makanan dari kampung bersebelahan iaitu Kampung Orang Asli Air Pasir yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari sini.
“Kami juga akan meletakkan jaring di kawasan air banjir yang dalam bagi memukat ikan seterusnya berkongsi hasil tangkapan dengan penduduk kampung sebelah,” katanya.
Bernama yang terbabit dalam urusan menyalurkan sumbangan itu mengambil masa kira-kira lebih sejam dari Jalan Kahang menuju ke Mersing untuk tiba ke dua-dua kampung berkenaan dan kemudiannya melalui jalan tanah merah sejauh 10km, yang hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat JAKOA Daerah Kluang Mohd Fadhil Khosnan berkata jabatan itu sentiasa mengambil berat tentang maklumat yang diberi oleh penduduk Orang Asli di situ berkaitan keadaan sungai dan kampung mereka.
“Apabila berlaku banjir, kami terus melaporkan kepada pihak berkenaan untuk mangambil tindakan dan juga memindahkan penduduk Orang Asli yang memerlukan pemindahan segera,” katanya.
Ketua Kampung Orang Asli Air Pasir, Jala Mahida, juga berterima kasih kepada pihak kerajaan dan agensi-agensi kerana memberi sumbangan kepada penduduk di kampungnya.
“Beginilah keadaan setiap kali musim banjir, laluan kampung ini mesti ditenggelami air banjir, jadi saya memohon kepada JAKOA supaya mengusulkan kepada pihak kerajaan untuk meluluskan projek pembinaan jalan untuk memasuki kampung kami ini,” katanya.
Kira-kira 200 pek makanan diedarkan kepada penduduk kedua-dua kampung berkenaan hari ini.