Input your search keywords and press Enter.

Remaja Maut Ketika Harung Banjir

M Update, 07/01/2021 – Seorang remaja lelaki maut ketika mengharungi banjir berdekatan dengan pekan Rantau Panjang, Pasir Mas, kira-kira pukul 8 malam semalam.

Difahamkan, remaja berusia 19 tahun itu maut selepas terjatuh, ketika sedang mengharungi air untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan bersama seorang lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi berkata punca kematian belum dapat dipastikan setakat ini dan mayat remaja itu telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Beliau berkata walaupun ada maklumat mengatakan punca kematian adalah disebabkan terkena renjatan elektrik, namun dakwaan itu belum dapat dipastikan kesahihannya, dan polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Sebelum ini, tular maklumat di laman sosial mengenai beberapa orang cuba mengalihkan mayat seorang remaja berdekatan satu tiang elektrik, dan ada yang mengatakan remaja itu maut selepas dikatakan terpegang tiang di situ.

Sementara itu mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang berdekatan dengan air terjun Lata Golok dekat Chenulang, Kuala Krai Jumaat lepas, ditemukan kira-kira pukul 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad berkata mayat Mohammad Fakeh Mat Hussin, 28, dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk dibuat pengecaman oleh anggota keluarga dan dibedah siasat.

Beliau berkata mayat dalam keadaan membengkak itu ditemukan oleh penduduk Kampung Pasir Jering, Chenulang tersangkut pada pokok, kira-kira 10 kilometer daripada tempat arwah dikatakan terjatuh.