Input your search keywords and press Enter.

APMM Tahan Kapal Dagang Bersauh Tanpa Kebenaran Di Port Dickson

M Update, 08/01/2021 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal dagang yang berdaftar di Mongolia kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 3.9 batu nautika barat barat Pulau Arang-Arang, Port Dickson, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kapal dagang MV Bistari itu ditahan sekitar pukul 11.40 pagi menerusi Op Benteng setelah gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“MV Bistari itu dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal kargo yang membawa muatan barangan itu dipercayai dari Pulau Pinang ke Pekan Baru, Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. 

Dalam pada itu, Haris Fadzillah berkata APMM terus mempergiat kerjasama baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.