Input your search keywords and press Enter.

Gelagat Tunku Azizah Bergurau Senda Dengan Dr Siti Hasmah Cuit Hati Netizen

M Update, 11/01/2021 – Gelagat Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergurau senda dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerusi dua rakaman video yang dikongsi dalam akaun Instagram ternyata mencuit hati netizen.

Dalam video terbabit, Raja Permaisuri Agong dilihat menggesek biola milik Dr Siti Hasmah sambil mengakui ia kali pertama baginda memegang alat muzik berkenaan.

“Pertama kali dalam hidup saya pegang biola…esok nak pergi beli biola dan belajar dari Tun Hasmah, ” katanya dalam akaun Instagram airtangan_tunkuazizah’s.

Dalam video berkenaan, Tunku Azizah turut bertanya dengan Dr Siti Hasmah adakah baginda pandai mengalunkan biola itu sambil disambut dengan tepukan isteri bekas Perdana Menteri itu.

Terdahulu, dalam hantaran di Instagramnya, baginda menyatakan hasrat untuk mempelajari biola dengan Dr Siti Hasmah ketika berkunjung ke rumah isteri bekas Perdana Menteri itu, di The Mines, Seri Kembangan, siang tadi.

Melalui hantaran video dan gambar di akaun Instagram, Raja Permaisuri Agong menyatakan baginda sebelum itu bermain golf di The Mines dan kemudian bercadang membuat kejutan untuk melawat Dr Siti Hasmah.

Dalam video kedua, Tunku Azizah meluahkan hasratnya untuk belajar menggesek biola dengan Dr Siti Hasmah yang kemudian bersetuju memenuhi permintaan itu.

Hantaran itu mencuit hati pengikut Instagramnya yang menyifatkan terhibur dengan aksi Raja Permaisuri Agong.

Selain kepakarannya dalam bidang perubatan, Dr Siti Hasmah turut dikenali dengan kebolehannya bermain alat muzik iaitu piano dan biola sendiri.