M Update, 12/01/2021 – Tiada lagi amaran, sebaliknya tindakan kompaun akan terus dikenakan terhadap mana-mana individu yang masih berdegil dan melanggar larangan rentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua, yang akan berkuat kuasa esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap tindakan golongan yang merentas negeri tanpa alasan kukuh dan kebenaran polis, dalam tempoh berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan membabitkan larangan rentas negeri bagi PKP kali kedua bermula esok, sama seperti PKP sebelum ini.
“Namun, dulu yang paling asasnya kita akan minta mereka patah balik jika tiada alasan kukuh dan kebenaran polis untuk rentas negeri.
“Kali ini, kita akan terus kompaun mana (individu) yang berdegil (melanggar larangan berkenaan),” katanya pada BH, hari ini.
Ditanya jumlah sekatan jalan raya dilaksanakan polis dan anggota dikerahkan bagi penugasan bermula esok, Azisman berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.
“Saya tidak boleh nak jawab sebab tiada jawapan. Ketua polis (daerah dan negeri) tahu sumber manusia (kekuatan anggota membabitkan sekatan jalan raya) kerana ia di bawah tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Mengenai kaedah permohonan membabitkan urusan kecemasan untuk kebenaran rentas negeri, Azisman berkata, Bukit Aman akan mengadakan sidang media khas bagi memperincikan semua mekanisme berbangkit sepanjang pelaksanaan PKP kedua.
“Tak silap saya, IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador) atau DIG (Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) akan adakan sidang media berkaitan mekanisme berkenaan.
“Nanti ada sidang media khas,” katanya.
Pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari mulai esok, seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, adalah usaha berterusan sejak awal 2020 untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Enam negeri itu ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, manakala enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) sementara PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.
Sebelum ini, PKP dikuat kuasa dalam empat fasa selama 47 hari, mulai 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020.