Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Cuti Pegawai, Anggota Polis Di Seluruh Negara Dibekukan – KPN

M Update, 13/01/2021 – Cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan serta-merta berikutan peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa tengah malam semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata arahan itu dikeluarkan untuk menjamin kekuatan maksimum Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan PKP dan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hanya pegawai dan anggota polis yang mempunyai hal-hal kecemasan diberi kelonggaran untuk bercuti dan PDRM amat bersimpati dengan keluarga polis yang meninggal dunia kerana COVID-19… diharapkan dengan pembekuan cuti mereka ini, PDRM akan dapat menyediakan barisan petugas yang komited memastikan pematuhan SOP ini dipatuhi orang ramai.

“Saya telah mendengar taklimat (berhubung peningkatan kes COVID-19) daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan hasil taklimat itu, PDRM melihat keputusan pelaksanaan PKP ini amat wajar sekali,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata sekiranya PKP tidak dilaksanakan, keadaan akan menjadi lebih menakutkan jika tindakan drastik tidak diambil serta-merta.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengambil keputusan yang amat tepat dengan melaksanakan PKP bermula tengah malam ini,” katanya.

Ditanya mengenai sekatan jalan raya (SJR) berikutan pelaksanaan PKP, Abdul Hamid berkata pihak Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis sedang mengatur lokasi yang bersesuaian di negeri masing-masing.

“Saya menjangkakan SJR yang akan diadakan pada tengah malam ini mencecah lebih 300 dan mungkin berganda bergantung kepada situasi semasa.

“SJR ini tidak termasuk dengan 56 SJR sedia ada yang telah ditetapkan di bawah Op Benteng. Faktor paling utama, SJR ini akan dilaksanakan di setiap jalan keluar plaza tol di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan yang menghubungkan dua buah negeri di mana terdapat PKP serta PKP Bersyarat,” katanya.

Beliau berkata PDRM menganggarkan sebanyak 48,000 anggota polis bertugas sepanjang tempoh PKP manakala 12,000 lagi bersiap-sedia untuk dikerahkan apabila diperlukan.

“Kepada individu yang bekerja dalam perkhidmatan penting negara, mereka tidak perlu khuatir untuk merentas negeri ketika SJR kerana mereka hanya perlu menunjukkan surat majikan kepada polis dan saya percaya anak buah saya (anggota polis) menggunakan budi bicara mereka.

“Sekiranya ditahan di SJR, mereka boleh menjelaskan situasi mereka dan saya telah mengingatkan pegawai dan anggota polis agar berhemah menggunakan budi bahasa,” katanya.

Ditanya sama ada pengisytiharan Proklamasi Darurat hari ini mengubah kuasa PDRM, Abdul Hamid berkata langkah itu tidak mengubah atau menimbulkan perbezaan terhadap kuasa pasukan keselamataan tersebut.

“PDRM tidak meminta apa-apa lebih daripada sudut kuasa walaupun Proklamasi Darurat disytiharkan,” katanya.