Input your search keywords and press Enter.

Penghantar Barang Maki Polis Direman

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew.

M Update, 20/01/2021 – Kerana mulut badan binasa. Itulah padah yang diterima oleh seorang penghantar barang apabila dia direman sehari serta berdepan kemungkinan didakwa di mahkamah selepas  mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Siti Nor Hasliza Md Ali yang membenarkan permohonan pihak polis bagi membantu siasatan kes.

“Suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas memaki hamun anggota yang bertugas di SJR di Km1 Jalan Dato Wan Ahmad dekat sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian 10.10 malam itu, lelaki tempatan berkenaan yang menaiki Perodua Kancil ditahan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar ketika keluar bersiar-siar seorang diri.

“Bagaimanapun dia enggan menandatangani notis saman yang dikeluarkan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan. Sebaliknya, suspek bertindak meluru ke arah anggota polis di khemah SJR serta menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.

Suspek kemudian ditahan dan kes disiasat menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.