Input your search keywords and press Enter.

Wujudkan Perundangan Ketat Lindung Privasi Data – PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan ucaptama secara maya pada majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Berkaitan di ibu negara, hari ini. 

M Update, 21/01/21 – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan ASEAN mempertimbang aspek perundangan mengenai privasi data dan hak pengguna yang boleh digunakan ke atas mana-mana entiti digital di rantau ini.

Perdana Menteri berkata, ASEAN juga perlu memberi perhatian terhadap aspek perundangan lebih ketat berhubung tindakan memberikan ucapan berunsur kebencian dan mempromosi keganasan melalui platform digital.

“Platform digital perlu menggalas kebertanggungjawaban lebih besar yang membolehkan mereka disaman selagi memiliki kawalan ke atas produk masing-masing.

“Perundangan lebih ketat boleh dipertimbangkan bagi ucapan kebencian yang antara lain memaksa platform digital mengeluarkan atau menghukum ucapan yang mempromosi keganasan dan serangan sama ada secara lisan atau fizikal.

“Bagaimanapun, ia tidak terhad kepada gangguan dan ancaman terhadap seseorang berdasarkan bangsa, jantina, agama, orientasi seksual, ketidakupayaan atau kewarganegaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan Mesyuarat Berkaitan secara maya, hari ini.