M Update, 22/01/2021 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendapati kenderaan pengangkutan awam, mula ambil mudah dan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, selepas seminggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri itu.
Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata berdasarkan pemantauan pihaknya sejak dua hari lalu mendapati, terdapat lori, bas ekspres dan teksi, yang gagal mempamerkan My Sejahtera, tidak melakukan pemeriksaan suhu, serta tidak mempunyai surat kebenaran perjalanan jarak jauh.
“Sejak penguatkuasaan semula PKP, pihak JPJ Pulau Pinang turut terlibat dalam operasi bersama polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) menerusi Ops COVID-19 dan kami mendapati lori, bas ekspres dan teksi, mula tidak mematuhi SOP seperti ditetapkan kerana menganggap pihak berkuasa tidak memeriksa secara menyeluruh dan ada (pemandu bas ekspres) yang cuba menipu, kononnya membawa penumpang ke Taiping, Perak tetapi siasatan ke atas penumpang mendapati bas tersebut mahu ke Kuala Lumpur.
“Jadi pihak JPJ dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan saman,” katanya kepada pemberita selepas Ops COVID-19 kolaborasi JPJ bersama Polis DiRaja Malaysia (PRRM) dan KKM di Plaza Tol Juru, di sini hari ini.
Adenan berkata, JPJ Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 500 notis saman menerusi Ops COVID-19 sejak pelaksanaan PKP di negeri ini bermula 13 Jan lalu, ke atas pelbagai kesalahan terutamanya melibatkan aspek teknikal seperti mengubah suai kenderaan, tiada cukai jalan dan lesen tamat tempoh.
“Secara am, Ops COVID-19 menyasarkan kepatuhan orang ramai terhadap prosedur SOP yang digariskan oleh kerajaan, melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan meskipun ia dijalankan dengan kerjasama pihak polis, namun kesalahan tertentu pihak JPJ akan keluarkan notis kepada pemandu,” katanya.
Katanya menerusi operasi itu juga JPJ fokus kepada kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) 2010, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987.