Input your search keywords and press Enter.

Tabung Musa’adah COVID-19 Bantu Golongan Rentan

M Update, 22/01/2021 – Kerajaan bersetuju menggunakan peruntukan Tabung Musa’adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) untuk menyumbang RM260,000 kepada agensi mengurus zakat di seluruh negara selain Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan atas usaha murni pihak berkenaan membantu golongan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sumbangan tambahan sebanyak RM40,000 kepada negeri yang terjejas banjir.

Bantuan banjir disumbangkan kepada Majlis Agama Islam Johor; Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang; Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

“Sepanjang tempoh getir ini golongan asnaf dan fakir miskin menjadi keutamaan bagi diri saya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, sejak Mac tahun lalu sehingga hari ini, pihaknya sudah mengagihkan sumbangan misi Musaadah COVID-19 berjumlah RM365 juta melalui agensi-agensi agama bawah jabatannya.

Katanya, sebagai mewakili kerajaan, beliau menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pihak berkuasa agama negeri melalui MAIN dan AMZ seluruh negara yang sentiasa bertungkus-lumus dan komited dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Saya juga melahirkan rasa simpati kepada negeri yang dilanda banjir dan berharap semua agensi bawah jabatan ini akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam memberikan khidmat terbaik dalam membantu golongan asnaf.

“Masyarakat, individu dan syarikat korporat digalakkan terus menyumbang kepada Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM bagi membantu asnaf selain mempertingkat usaha pemerkasaan sosioekonomi ummah,” katanya.