Input your search keywords and press Enter.

Veteran ATM Terjejas Banjir Bakal Terima Sumbangan

M Update, 26/01/2021 – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan Program Cakna Veteran ATM-Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di lima negeri, dijangka bermula esok hingga 31 Januari ini.

JHEV ATM Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan berdasarkan rekod, seramai 228 veteran ATM di Pahang terkesan banjir, Kelantan (29), Johor (23), Terengganu (15) dan Perak (lapan).

Katanya, keseluruhan sumbangan mangsa banjir berjumlah kira-kira RM151,000 membabitkan pemberian RM500 kepada setiap 303 veteran ATM itu.

“Sumbangan itu selari dengan keprihatinan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan veteran ATM yang ditimpa musibah banjir di beberapa negeri.

“Penyampaian sumbangan kepada veteran ATM akan dilaksanakan oleh pengarah JHEV ATM cawangan negeri masing-masing.

“Program ini akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti mengekalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keutamaan sumbangan diberikan kepada veteran ATM atau tanggungan mereka dan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, selain diperakui JHEV ATM negeri berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, veteran ATM mengalami kerosakan rumah akibat banjir yang tidak menerima sumbangan ini, boleh memohon Skim Bantuan Bencana Alam mengikut syarat kelayakan ditetapkan melalui JHEV ATM negeri masing-masing.

“Peruntukan untuk program ini membabitkan penggunaan dana Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM dan dana Kempen Tabung Pahlawan.

“Sumbangan banjir berjumlah RM500 diberikan kepada veteran ATM terkesan bencana banjir yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Terdapat dua kategori sumbangan iaitu secara tunai membabitkam enam wakil veteran ATM setiap negeri, manakala penerima lain akan menerima sumbangan menerusi akaun bank masing-masing,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan, MINDEF akan terus mempertingkat Program Cakna Veteran ATM, melalui siri lawatan kebajikan pada masa hadapan supaya tiada veteran ATM terpinggir daripada menerima insentif disediakan.

“MINDEF sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran ATM sejajar jasa bakti dan pengorbanan dicurahkan selama ini, dalam menentukan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.