M Update, 29/01/2021 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini memperkenalkan perkhidmatan ‘Live Chat PTPTN’ bagi membantu urusan harian pelanggannya.
Ia termasuk membuat semakan, pertanyaan dan aduan bagi urusan pinjaman pendidikan, bayaran balik dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
PTPTN dalam kenyataannya, berkata perkhidmatan Live Chat PTPTN adalah saluran alternatif yang boleh diakses pelanggan dengan mudah dan cepat dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini.
“Pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN menerusi pautan www.ptptn.gov.my dan klik pada ikon Live Chat.
“Kemudahan interaksi ini membolehkan pelanggan berhubung terus secara langsung dengan pegawai PTPTN yang sentiasa bersedia memberikan maklum balas.
“Pelanggan juga tidak perlu mempunyai sebarang akaun media baharu untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PTPTN menegaskan yang Live Chat itu mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 bagi memberi perlindungan kepada data peribadi pelanggan.
Selain kemudahan Live Chat, pelanggannya juga boleh mengguna saluran e-Aduan melalui portal rasmi PTPTN atau menghubungi pegawai khidmat pelanggan serta Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di pautan https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.
“Talian Careline PTPTN di 03 2193 3000 juga terus beroperasi pada hari Isnin sehingga Jumaat dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.
“Pelaksanaan kemudahan perkhidmatan ini adalah bukti komitmen PTPTN memastikan urusan pelanggan tidak terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Kemudahan Live Chat serta lain-lain perkhidmatan yang disediakan oleh PTPTN sewajarnya dimanfaatkan pelanggan untuk mendapatkan maklum balas lebih cepat dan pantas,” katanya.