Input your search keywords and press Enter.

Pelajar Di 30 PPR Berpeluang Nikmati WiFi Percuma Celcom Untuk PdPR

M Update, 08/02/2021 – Pelajar daripada golongan B40 dari 30 Program Perumahan Rakyat (PPR) di sembilan negeri akan dapat menikmati WiFi percuma di bawah perkhidmatan Celcom Home Wireless untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hingga 30 April ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Celcom Axiata Berhad (Celcom) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu menyasarkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tinggal di PPR di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah.

“Perkhidmatan itu membolehkan penggunaan data tanpa had untuk aplikasi pembelajaran dan sesi bilik darjah dalam talian menerusi aplikasi seperti Microsoft Teams, Zoom, Google Meet, Google Classroom dan Webex,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, 24 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang dikendalikan Celcom di Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah telah melanjutkan waktu operasi dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari bagi membolehkan pelajar menggunakan kemudahan ketersambungan di pusat berkenaan untuk pembelajaran dalam talian.

Inisiatif komuniti PPR itu adalah sebahagian daripada usaha Celcom dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyediakan bantuan komunikasi kepada pelajar B40.