Input your search keywords and press Enter.

Peniaga Pasar Malam Didakwa Rogol Anak Tiri

Peniaga pasar malam dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh menghadapi tiga tuduhan merogol anak tirinya yang bawah usia tahun lalu.

M Update, 08/02/2021 – Seorang penjual jagung di pasar malam dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga dakwaan merogol anak tirinya yang juga remaja bawah umur antara Jun hingga Disember tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu daripada tertuduh yang berusia 48 tahun itu di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 14 tahun itu yang mana perhubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan mengikut hukum agama bagi mengikat tali perkahwinan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 2 hingga 3.30 petang di bilik utama sebuah rumah di Ayer Tawar di daerah Manjung masing-masing pada Jun, Julai, dan Disember 2020.

Ketiga-tiga pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail dengan tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Syahrul Nizam memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan anak guamnya itu menunjukkan gejala seorang yang lembam.

Pihak pendakwaan membantah permohonan itu kerana rumah tertuduh dan rumah ibu saudara remaja perempuan itu yang menjadi kediamannya selepas ibunya meninggal dunia pada April tahun lalu hanya berselang jarak sejauh kira-kira 50 meter.

Syahrul Nizam kemudiannya menawarkan syarat tambahan agar permohonan menjamin anak guamnya itu dibenarkan iaitu tertuduh akan memberikan aku janji termasuk sanggup berpindah ke lokasi lain yang lebih jauh selain dua syarat lain yang kemudiannya ditetapkan oleh mahkamah.

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh sebagai penjual jagung di pasar malam yang sangat terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menetapkan jumlah jaminan yang bersesuaian.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan ke atasnya serta menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali selain mensyaratkan dia dilarang mengganggu mangsa tanpa tertuduh perlu berpindah seperti syarat yang pada awalnya ditawarkan oleh pembelaan.

Tertuduh membayar wang jaminan itu.