Input your search keywords and press Enter.

Keluarga Harap Jenazah Rabitah Dapat Dibawa Pulang

M Update, 9/2/2021 – Keluarga kepada wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam, berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam kemalangan di Griffith, Australia tetapi tiada maklumat lanjut diperoleh mengenai kejadian berkenaan. Anak sulung mangsa, Rushaniena Izani, 26, berkata ibunya yang berstatus ibu tunggal, ke Griffith seorang diri pada Februari tahun lalu untuk bekerja di sana.

“Saya dimaklumkan dia bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam. Pada 21 Februari ini genap setahun dia berada di sana. Ibu sepatutnya berada di sana selama lima tahun dan akan pulang ke tanah air pada 2024.

“Saya dapat tahu kejadian yang menimpa ibu daripada ibu saudara yang tinggal di Lunas, Kulim. Rakan serumah ibu di sana menghubungi ibu saudara dan memaklumkan kejadian dan difahamkan kereta yang dipandu ibu terbabas sebelum dia tercampak keluar dari tingkap,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Rushaniena berkata, jenazah ibunya kini berada di Hospital Sydney, Australia untuk proses bedah siasat dan dia bersama-sama dua adiknya masing-masing berumur 14 dan 19 tahun berharap jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia.

Katanya, pihak Wisma Putra menghubungi ibu saudaranya kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan bertanya sama ada mahu jenazah ibunya dikebumikan di negara berkenaan atau dibawa pulang ke tanah air yang memerlukan kos sekitar RM50,000.

“Buat masa ini, tiada wakil keluarga yang ke sana. Kami sedang mengumpul dana kerana berharap dapat membawa jenazah ibu pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya.

“Kali terakhir kami berhubung dengan ibu sekitar dua, tiga hari lalu dan ibu bersembang dan gelak seperti biasa,” katanya. – BERNAMA