Input your search keywords and press Enter.

PM Penerima Pertama, Beri Keyakinan Vaksin Selamat – Khairy

M Update, 18/2/2021 – Keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa vaksin tersebut selamat dan berkesan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata keputusan juga dibuat selepas penilaian risiko mendapati tugas-tugas Muhyiddin selaku ketua kerajaan dan ahli politik mendedahkan beliau kepada risiko untuk dijangkiti COVID-19.

“Ada yang masih ragu-ragu walaupun vaksin ini telah diuji puluhan ribu orang di seluruh dunia, malah sekarang ini (vaksin) bukan sahaja diuji malah telah diberi kepada 100 juta lebih orang di seluruh dunia dan tiada kesan sampingan yang serius dilaporkan disebabkan oleh vaksin ini.

Di Malaysia, kita nak bagi keyakinan bahawa kalau ketua kerajaan sendiri telah mengambil vaksin dan tiada kesan buruk dan sebagainya, ini boleh meningkatkan lagi keyakinan orang ramai kepada vaksin.

Khairy berkata perdana menteri juga telah mendapat kebenaran daripada doktor peribadinya untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 yang dijadualkan pada 26 Feb ini. Perdana menteri sebelum ini telah menerima maklum balas mengenai suntikan vaksin COVID-19 daripada Presiden Indonesia Joko Widodo semasa lawatan ke negara itu baru-baru ini.

“Jokowi memaklumkan semasa beliau menerima vaksin daripada Sinovac, beliau tidak rasa apa-apa cuma mungkin letih sikit,” kata Khairy.

Menjawab soalan mengenai vaksin keluaran syarikat mana yang akan diterima rakyat, Khairy berkata dasar  kerajaan menetapkan apa juga vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai selamat dan berkesan akan diberi kepada rakyat.

“Dalam hal ini, anda tidak boleh memilih vaksin yang anda akan terima. Anda akan diberi masa, tempat dan tarikh untuk janji temu dan apa juga vaksin yang tersedia di situ, saya jamin vaksin itu selamat dan berkesan,” katanya.