Input your search keywords and press Enter.

Tunggu Waran Tangkap Untuk Sajat – JAIS

M Update, 24/2/2021 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat sebelum mengambil tindakan susulan.

Jurucakap JAIS berkata, pasukan penguat kuasanya akan menangkap Nur Sajat untuk dibawa ke mahkamah bagi proses perbicaraan selepas menerima waran berkenaan.

“Kami jangka waran itu akan diterima hari ini. Sebaik terima waran itu, kita akan usaha cari dan tangkap Sajat. Setakat ini, kita masih menunggu waran itu,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik itu kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Difahamkan, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii. Peguam syarie, Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu, dilaporkan mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes ditangguhkan ke 1 Jun depan.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018. – BH Online