Tarikh 1 Mac 2013 menjadi detik hitam dalam sejarah negara apabila lapan wira tanah air gugur mempertahankan kedaulatan negara di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Kejadian itu menyaksikan dua anggota polis 69 Komando, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terbunuh manakala, tiga yang lain cedera ditembak.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, peristiwa itu dapat membuka mata terutama generasi muda bahawa keamanan yang diperolehi negara perlu dibayar dengan pengorbanan.
“Tragedi di Lahad Datu itu menunjukkan penglibatan polis, tentera dan sebagainya telah korbankan jiwa mereka untuk pertahan negara yang kita cinta ini,” katanya.
Peristiwa Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.
Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.
Kumpulan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara’ telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.
Angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram itu yang merupakan saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.
Kehadiran sebahagian pengganas itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu 11 Februari 2013 dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
Pada keesokan hari, kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.
Pada 14 Februari 2013, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
Ketua Polis Negara ketika itu pula, Tan Sri Ismail Omar menegaskan bahawa polis mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari selatan Filipina.
Ismail berkata, kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
Beliau juga berkata, rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.
Pada 16 Februari 2013, Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kumpulan itu menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana ia diambil British di bawah kerajaan Sulu.
Kerajaan Filipina pada 24 Februari 2013 kemudian menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
Pada 26 Februari 2013, tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu dan selang dua hari kemudian kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.
Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 ‘tentera diraja’ meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
Krisis pencerobohan Lahad Datu mula menjadi tumpuan apabila dua orang anggota keselamatan negara ditembak mati pada 1 Mac selepas pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.
Susulan itu pada 7 Mac 2013, Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata pihak Kesultanan Sulu, menurut jurucakapnya, Abraham Idjirani.
Bagaimanapun, Najib yang melawat Lahad Datu menolak gesaan gencatan senjata dan mahu pengganas itu meletakkan senjata tanpa syarat serta serah diri selain beliau mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau merangkumi Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.
Ismail pula berkata, seramai 52 orang pengganas Sulu termasuk ketua kumpulan itu yang berpangkat ‘jeneral’ terbunuh dalam Op Daulat.
Pada 8 Mac 2013, Ismail mendedahkan lebih 50 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ditubuhkan susulan Op Daulat yang dilancarkan bersama pasukan keselamatan negara.
Pada 23 Mac 2013, pasukan keselamatan negara menangkap dua individu penting dalam insiden di Lahad Datu dalam dua tangkapan berasingan. Mereka adalah seorang rakyat tempatan yang selama ini membekalkan makanan, minuman, ubat-ubatan, pengangkutan dan tempat tinggal untuk kumpulan Sulu serta seorang pemerintah tentera pengganas Filipina.
Pencerobohan itu mengakibatkan 12 perwira negara negara terbunuh dan menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Ekoran itu peristiwa berdarah itu, seramai 416 individu ditahan termasuk 110 orang disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terlibat dengan pencerobohan bersenjata Lahad Datu berkenaan.
Sumber : Sinar Harian