Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19: Lebih 20 Juta Penduduk UK Terima Suntikan

M Update, 01/03/2021 – Britain semalam mengumumkan lebih 20 juta penduduk negara itu menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos, sekali gus memberi harapan kepada negara yang mencatatkan kes kematian tertinggi akibat COVID-19 di Eropah.

Perdana Menteri Boris Johnson menyifatkan ia sebagai pencapaian besar negara sambil memuji kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Negara dan pihak lain yang terbabit dalam program vaksinasi itu.

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock yang membuat pengumuman menerusi mesej video di Twitter itu berkata beliau sangat gembira kerana lebih 20 juta penduduk menerima vaksin. Seramai 20,089,551 menerima satu dos suntikan vaksin, menurut data yang dikeluarkan kerajaan semalam.

Pertengahan bulan lalu, United Kingdom (UK) mencapai sasaran untuk memastikan 15 juta golongan rentan menerima satu dos suntikan vaksin. Kerajaan menyatakan pihaknya merancang untuk memberikan suntikan pertama kepada semua penduduk dewasa menjelang akhir Julai ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap penduduk yang tampil mendapatkan suntikan dan ini adalah jalan keluar untuk kita. Masih jauh perjalanan yang harus ditempuh tetapi kami membuat banyak kemajuan,” kata Hancock.

Program vaksinasi di UK berjalan lancar sejak dimulakan pada awal Disember, ketika menjadi negara pertama di dunia yang memulakan inokulasi besar-besaran. Kegagalan awal dalam mengawal penyebaran jangkitan menyaksikan kes melonjak di UK dengan 122,705 kes kematian, tertinggi di Eropah.

Kemasukan ke hospital dan kematian setiap hari menurun secara mendadak sejak akhir Januari, walaupun terdapat penularan varian baharu. Terdapat 6,035 kes harian baharu yang dilaporkan semalam dengan 144 kematian, angka terendah sejak awal musim gugur.

Pada Khamis, Britain menurunkan tahap amaran virus satu tahap dari tahap tertinggi, dengan mengatakan penurunan kes mengurangkan ancaman terhadap Perkhidmatan Kesihatan Negara. – BH Online