Input your search keywords and press Enter.

Malaysia-Brunei Bincang Saling Iktiraf Sijil Vaksinasi COVID-19

M Update, 02/03/2021 – Tiga perkara berkenaan vaksin COVID-19 dibincangkan dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dengan rakan sejawatnya, Menteri Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.

Dalam pertemuan itu sempena lawatan rasmi beliau ke Brunei, Hishammuddin berkata, perkara berkenaan vaksin turut disentuh demi memastikan akses bekalan vaksin membabitkan rakyat dari kedua-dua negara.

Ini kerana, beliau berkata hubungan Malaysia dan Brunei adalah istimewa dan terjalin sekian lama.

“Di atas dasar itu, kami berkongsi harapan agar hubungan ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi terutama di era pasca pandemik COVID-19. Hubungan istimewa ini turut disokong dan disandarkan atas pelbagai kepentingan bersama, perkongsian nilai serta budaya yang saling berkaitan.

“Saya dan Datuk Seri Setia Haji Erywan turut membincangkan tiga perkara mengenai vaksin COVID-19, khususnya mengenai aturan vaksinasi timbal balik atau reciprocal vaccination arrangement untuk kedua-dua warganegara merangkumi diplomat, pelajar dan ekspatriat; memastikan akses terhadap bekalan vaksin untuk Malaysia dan negara Brunei Darussalam.

“Dan pengiktirafan sijil vaksinasi antara kedua-dua negara yang mana langkah ini akan lebih memudahkan pergerakan rakyat di antara kedua-dua negara,” katanya.

Sewaktu lawatan itu juga, Hishamuddin dan rakan sejawatnya ada berbincang mengenai mekanisme dua hala yang sedia ada terutama membabitkan Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) dan Mesyuarat Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL).

“Ia antara lain meliputi tinjauan bersama dalam perihal persempadanan darat selain kerjasama lebih lanjut dalam sektor minyak dan gas,” katanya.

Kedua-duanya adalah platform penting bagi Malaysia dan Brunei untuk saling bertukar pandangan mengenai isu yang menjadi perhatian bersama serta penyelesaian konkrit. – BH Online