Input your search keywords and press Enter.

Dua Pelajar Hina Guru Didakwa Hari Ini

M Update, 11/03/2021 – Dua pelajar yang menghina guru dengan menconteng di baju sekolah sambil menunggang motosikal, 3 Mac lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menghina.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar dua pelajar lelaki dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan menaiki motosikal dengan pakaian sekolah mereka diconteng perkataan kesat dan mencarut terhadap guru.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri. Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, Kota Bharu, jam 4 petang, pada 3 Mac lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman. Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Perbuatan pelajar menggunakan ungkapan kesat dan makian terhadap guru menunjukkan rasa tidak hormat selain menghina warga pendidik.