Input your search keywords and press Enter.

Liverpool Mara Ke Suku Akhir Liga Juara-Juara

M Update, 11/03/2021 – Liverpool melupakan masalah kemerosotan di peringkat domestik apabila membenam RB Leipzig 2-0 pada aksi kedua kelompok 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara di sini, sebentar tadi untuk mara ke peringkat suku akhir.

Juara enam kali Eropah itu yang tewas enam kali berturut-turut di laman sendiri pada saingan Liga Perdana Inggeris bersyukur beraksi di sini, berbanding di Anfield, memperoleh gol menerusi Mohamed Salah dan Sadio Mane pada separuh masa untuk mara dengan agregat 4-0.

Mengulangi dua gol pantas pada perlawanan pertama, Mohamed Salah dan Sadio Mane sekali lagi meledak dalam tempoh empat minit bagi mencipta kemenangan dan menghidupkan peluang Liverpool menyelamatkan musim domestik dengan kejayaan di Eropah.

“Ia kemenangan besar buat kami,” kata Salah kepada BT Sport. Kami tewas beberapa perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), pasukan ini bukan berada pada tahap terbaik tapi kami mahu bertarung dalam Liga Juara-Juara.

“Memang sukar dalam EPL, semua orang boleh melihatnya. Beberapa tahun sebelum ini kami menang, kami beraksi baik. Tahun ini kami berdepan beberapa kecederaan jadi kami tidak bernasib baik, kami cuba memperbaikinya tetapi ia sukar.”

Selepas enam kekalahan berturut-turut di Anfield dan jatuh ke kedudukan kelapan EPL, skuad Jurgen Klopp tampak lega beraksi di luar dengan perlawanan kedua berlangsung di Hungary kerana halangan penerbangan akibat COVID-19.

Ketika The Reds menunjukkan gaya menyerang, mereka melepaskan beberapa peluang pada babak pertama. Diogo Jota sepatutnya membuka jaringan pada minit ke-18 tetapi penyerang Portugal itu menanduk terus kepada penjaga gol RB Leipzig, Peter Gulacsi.

Pada pertengahan babak pertama, sepakan akrobatik Thiago Alcantara memberikan bola buat Salah di kiri tetapi sepakannya dihalang Gulacsi dan Mane gagal menyudahkan bola yang melantun.

Selepas setengah jam, Salah gagal menyudahkan peluang dari jarak dekat selepas menerima hantaran lintang Trent Alexander-Arnold. – BH Online