Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19 : Jangan Lupa Lengkapkan Maklumat Peribadi

1.4 juta perlu lengkapkan pendaftaran program imunisasi. Seramai 1.4 juta individu yang telah mendaftar untuk menerima vaksin bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, diminta melengkapkan pendaftaran mereka bagi membolehkan tarikh janji temu diatur.

Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa individu terbabit hanya mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan ketika mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan, selain tiada memasukkan alamat masing-masing menyebabkan pendaftaran tidak lengkap.

Justeru, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, individu terbabit akan menerima notifikasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbit supaya melengkapkan pendaftaran, bermula petang ini.

“Maklumat alamat adalah penting kerana kita akan memberi janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran alamat yang dimasukkan ketika pendaftaran.

“Kita tidak mengambil alamat dalam kad pengenalan. Ini kerana ramai yang tidak duduk di alamat seperti dalam kad pengenalan. Alamat ini boleh ditukar pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media mingguan Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19, hari ini.

Sehubungan itu, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya berharap individu terbabit dapat segera melengkapkan pendaftaran masing-masing.