Input your search keywords and press Enter.

Peluang bercuti atas kapal mewah sempena perayaan Aidilfitri

Oleh Faizul Hakimi

PERCUTIAN mewah atas kapal bersaiz seperti sebuah gedung beli-belah pastinya mampu memberikan keterujaan buat sesiapa sahaja.

Oleh demikian, Genting Cruise Lines dan Penang Port Sdn Bhd mengumumkan rancangan untuk memulakan semula perkhidmatan dan operasi kapal Star Pisces di Pulau Pinang dengan itinerari baru ke Pulau Langkawi bermula 13 Mei ini bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Wow! Beraya atas kapal mewah? Memang kelas uols!

Itinerari-itinerari ke Pulau Langkawi yang dicadangkan termasuk pelayaran dua malam iaitu pakej ‘Langkawi Escape’ dan pelayaran satu malam dengan pakej ‘Straits of Malacca’ yang dijangka akan bertolak dari Pulau Pinang.

Dengan pelancaran itinerari-itinerari tersebut, Star Pisces, kapal yang dimiliki Star Cruises dengan muatan 40,053 tan dan kapasiti 1,600 penumpang ini akan menjadi kapal persiaran pertama yang beroperasi semula di Malaysia dan salah sebuah kapal yang paling awal memulakan operasi di dunia.

Menurut Naib Presiden Jualan Genting Cruise Lines di Malaysia, Cynthia Lee berkata, ia secara tidak langsung juga membantu perkembangan sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang kini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Seperti rakyat Malaysia yang lain, percutian alternatif seperti inilah yang kami nanti-nantikan, lebih- lebih lagi apabila melancong ke luar negeri masih tidak dibenarkan pada masa ini.

“Itinerari-itinerari ke Pulau Langkawi yang baru ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk kembali bercuti di tengah laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan, seperti kita sedia maklum, perkhidmatan pelayaran merupakan tonggak pembangunan Pulau Pinang sejak dulu lagi dan ia telah menjadi keunikan Pulau Pinang.

“Akibat pandemik Covid-19 yang berterusan telah menjejas pembangunan sektor pelancongan domestik dan adalah penting untuk kami memberi sokongan kepada Genting Cruise Lines untuk menjamin keselamatan dan keselesaan para penumpang yang bercuti di atas kapal supaya ia dapat memberi suntikan kuat kepada sektor pelayaran tempatan.

“Oleh demikian, kami akan terus bekerjasama dengan Genting Cruise Lines untuk melancarkan semula operasinya dengan percutian pelayaran yang selamat tanpa mengabaikan faktor keselamatan dan kualiti perkhidmatan.

“Kami berharap dengan kerjasama antara dua pihak ini kami dapat mewujudkan satu piawaian kualiti yang lebih tinggi untuk sektor perkhidmatan pelayaran dan merangsang kembali industri pelancongan domestik,” katanya.

Yang penting, permulaan semula perkhidmatan dan operasi kapal persiaran akan dapat menghidupkan semula sektor ekonomi pelancongan dan membantu agen-agen pelancongan yang teruk terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya memberi lebih peluang perkerjaan kepada warga tempatan.

Operasi semula kapal persiaran juga akan dapat memulihkan seluruh rantai bekalan yang berkaitan seperti barang-barang keperluan, perkhidmatan dan bahan-bahan yang berkaitan dengan operasi pelayaran.

Ini adalah sejajar dengan prinsip panduan Genting Cruise Lines untuk menyokong dan membangunkan semula ekonomi sektor pelayaran di setiap pelabuhan yang Genting Cruise Lines memulakan semula operasinya.

Kembalinya kehangatan melancong

‘Super Seacation’ adalah percutian dan penginapan di tengah laut ini amat berbeza daripada ‘staycation’, iaitu penginapan hotel di daratan. Ia memberikan alternatif kepada pengunjung untuk bersantai di atas kapal sambil dilambai bayu laut di bawah sinar matahari.

Penumpang pelbagai peringkat umur pasti terhibur dan terpesona dengan pelbagai pilihan restoran, kemudahan rekreasi dan riadah yang tersedia sepanjang pelayaran ‘Super Seacation’ ini.

Pada peringkat awal, kapal ini akan beroperasi dengan kapasiti penumpangnya dikurangkan, semua aktiviti di kapal akan diatur mengikut saiz kumpulan yang dibenarkan berbeza bagi setiap aktiviti dan selaras dengan dasar negara semasa.

Selain itu, pihak kapal akan mengambil langkah untuk memastikan setiap individu dan kumpulan mengamalkan jarak sosial yang selamat.

Itinerari terbaru Star Pisces ke Pulau Langkawi akan memberi peluang kepada para penumpang untuk mendalami keindahan semulajadi dan mengenali keunikan warisan budaya di pulau tersebut, yang juga digelar sebagai ‘Permata Kedah’.

Menarik bukan? Namun, jika korang berminat untuk merasai percuti mewah tersebut korang juga perlu menjalani ujian dan patuh beberapa perkara sebelum naik kapal seperti :

  • Proses pemeriksaan kesihatan yang ketat dan garis panduan sebelum naik dan selepas turun dari kapal
  • Prosedur kuarantin anak-anak kapal diperketatkan,
  • Sanitasi dan pembasmian kuman yang menyeluruh.
  • Mempraktikkan amalan kebersihan yang tinggi di kabin tetamu, kawasan awam di atas kapal dan semasa aktiviti-aktiviti rekreasi.
  • Peningkatan keselamatan makanan dan minuman.

Selamat bercuti!

Sumber : SinarPlus