Input your search keywords and press Enter.

Dadah Bernilai Lebih RM221 Juta Dirampas

Foto : Redzuan Abdul Abdul Manap Twitter

M Update, 08/04/2021 – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya mematahkan cubaan menyeludup 650 kilogram pil Captagon atau dikenali sebagai ‘dadah jihad’ bernilai RM221.86 juta dalam satu operasi khas di Pelabuhan Barat, di sini, Isnin lalu.

Pengarah JSJN, Datuk Razarudin Husain berkata, pil Captagon dari Lubnan itu tiba di sini Ahad lalu sebelum ke negara-negara Asia Barat melalui Singapura pada Selasa lalu.

“Pada petang 5 April lalu, JSJN Bukit Aman berjaya membuat rampasan hasil kerjasama Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri (GDNC) Arab Saudi. Bahagian risikan antarabangsa JSJN berjaya mengesan dan mengenal pasti kapal terbabit sebelum sebuah kontena daripada kapal itu akan dipindahkan ke atas kapal kedua yang sepatutnya meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April lalu.

“Kontena itu kemudian dibawa ke darat untuk diperiksa dengan menggunakan alat pengimbas di mana hasil pemeriksaan mendapati kontena itu mengandungi sejumlah 19 palet kayu berisi kotak-kotak di mana setiap kotak mengandungi empat unit ‘aluminium floor spring’,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Foto : Redzuan Abdul Abdul Manap Twitter

Razarudin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 875 daripada 889 kotak dalam kontena berkenaan mengandungi aluminium yang berisi pil Captagon.

“Ini rampasan kedua selepas rampasan pertama pada 17 Mac lalu yang lebih besar jumlahnya. Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke dalam negara ini,” katanya.

Jumlah keseluruhan yang dirampas adalah sebanyak 3,862,216 biji pil Captagon dengan anggaran berat 650 kg bernilai RM221,856,312. Jumlah pil Captagon yang dirampas itu boleh digunakan 3.86 juta penagih dadah di mana sebiji pil Captagon itu berharga RM57. Siasatan awal mendapati pil Captagon itu dikenali sebagai Fenethylline yang mengandungi campuran dadah jenis ‘amphetamine’ dan ‘theophylline.

Foto : Redzuan Abdul Abdul Manap Twitter

JSJN terus bekerjasama dengan pihak Arab Saudi dan menjalankan siasatan siapa yang menghantar dadah terbabit kerana tiada suspek ditangkap, hanya rampasan sahaja dibuat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, pil Captagon pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an namun diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah itu pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah. Biasanya dadah ini digunakan oleh pemberontak atau militan daesh untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat-pusat hiburan, namun dadah itu masih belum memasuki pasaran Malaysia. – HM Online