Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19: Suntikan Di Hospital Swasta Percuma

M Update, 13/04/2021 – Pemberian vaksin COVID-19 di hospital swasta adalah percuma kerana kos bekalan itu ditanggung oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata sebahagian kos pemberian vaksin pula akan ditanggung oleh pihak hospital swasta sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada negara.

APHM berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba kerana membenarkan hospital swasta terbabit dalam Fasa 2 dan 3 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Hospital swasta sedia menjalankan proses vaksinasi kepada orang awam mengikut kadar dicadangkan kerajaan menerusi ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Bayaran bagi mendapatkan vaksin ini akan ditanggung oleh kerajaan dan orang awam tidak perlu membuat sebarang pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kuljit bagaimanapun berkata, APHM berpendapat adalah lebih baik hospital swasta dibenarkan memperoleh sendiri bekalan vaksin COVID-19 terutama untuk petugas barisan hadapan ekonomi dan orang awam yang memerlukan vaksinasi awal bagi tujuan tertentu. Katanya, kebenaran untuk memperoleh sendiri bekalan vaksin itu berupaya memperkasakan lagi program vaksinasi negara.

“Kami berpandangan baki dua fasa program imunisasi negara wajar dikaji semula bagi membolehkan berlaku peningkatan dalam proses vaksinasi. Sudah semestinya individu berisiko dalam fasa kedua tidak harus dipinggirkan namun penerima dalam fasa ketiga perlu dipertimbangkan untuk menerima vaksin mereka lebih awal,” katanya.

Dr Adham sebelum ini dilaporkan berkata hospital swasta akan dilibatkan dalam fasa dua dan tiga program itu sebagai Pusat Pemberian Vaksin. Beliau berkata, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat. – BH Online