Input your search keywords and press Enter.

Ribut Petir Di KL Hingga Sabtu

M Update, 14/04/2021 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan di ibu kota hingga Sabtu ini.

DBKL dalam kiriman di Facebook berkata, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dari 11 hingga 17 April menunjukkan amaran ribut petir pada sebelah petang setiap hari di beberapa tempat.

“Warga kota dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Jika berlaku banjir kilat di kawasan anda, hubungi Bilik Gerakan DBKL di talian 03-40244424 untuk tindakan kecemasan,” katanya.

Semalam, beberapa laluan di sekitar ibu kota dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat berterusan sejak jam 4.30 petang.

Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan. Dalam pada itu, DBKL turut melakukan kerja pembersihan segera di kawasan yang terjejas bagi mengelakkan gangguan lalu lintas dan kesulitan kepada orang awam.

“DBKL bertindak pantas melaksanakan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok-pokok tumbang akibat daripada hujan lebat yang turun pada 12 dan 13 April 2021 di sekitar Kuala Lumpur. Tindakan pantas ini sedikit sebanyak melegakan warga kota yang turut terkesan dengan fenomena cuaca sejak kebelakangan ini,” kata kenyataan itu.

Dalam perkongsian itu, turut dipaparkan pekerja sedang menjalankan aktiviti pembersihan bagi mengalihkan pokok yang tumbang di jalan besar dan sekitar kawasan perumahan. – BH Online