Input your search keywords and press Enter.

Patuhi SOP Elak Bazar Aidilfitri Jadi Lokasi Penularan

Gambar Sekadar Hiasan

M Update, 26/04/2021 – Lanjutan operasi bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi boleh menjadi ‘duri dalam daging’ untuk membendung penularan COVID-19 jika beberapa aspek pencegahan tidak dipatuhi.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penganjuran bazar di kawasan terbuka dan menerapkan kawalan pengunjung sebenarnya mempunyai risiko jangkitan yang rendah. Selain itu, katanya, cuaca panas dan kering di Malaysia memberi kelebihan kepada usaha pembendungan wabak COVID-19, berbanding negara beriklim sejuk.

“Sepatutnya bazar Aidilfitri ini tidak menjadi isu, jika penjarakan fizikal dijaga, malah langkah melanjutkan tempoh operasi sehingga larut malam berupaya mengurangkan risiko kesesakan pengunjung pada satu-satu masa. Berbanding semua terpaksa datang sekali disebabkan waktu operasi bazar yang singkat, orang ramai kini boleh membuat perancangan bersesuaian supaya tidak terperangkap dalam kesesakan pengunjung.

“Malah, bazar yang diadakan di kawasan terbuka mempunyai kualiti pengudaraan yang bagus, sekali gus mengurangkan risiko penularan COVID-19,” katanya

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin mengumumkan keputusan untuk melanjutkan operasi bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi, berkuat kuasa semalam, selepas mengambil kira rayuan penjaja.

Meskipun diberikan kelonggaran bagi menjaga kepentingan penjaja, Sazaly berkata pengunjung harus mengamalkan kawalan kendiri dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Seeloknya golongan berisiko, iaitu warga emas dan yang mempunyai sejarah penyakit kronik atau komorbiditi tidak ke bazar, sebaliknya boleh membuat kiriman kepada ahli keluarga terdekat. Pengunjung juga diingatkan untuk tidak mencium, menghidu atau menyentuh produk sesuka hati kerana perbuatan sebegini bakal menjadi punca jangkitan COVID-19, justeru amalkan kawalan kendiri.

Sebelum sentuh apa-apa produk atau barangan, peniaga sepatutnya mewajibkan pengunjung menggunakan cecair pembasmi kuman kerana sebarang penularan jangkitan akhirnya akan mengundang risiko penutupan bazar. Pemakaian pelitup muka untuk jangka lama boleh mengundang ketidakselesaan, justeru buat penggiliran supaya kita tidak mengabaikan SOP. – BH Online