Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Pokok Taman Ditebang Untuk Pembakaran Mayat

M Update, 28/04/2021 – Krematorium di sini terpaksa membina tempat sementara untuk pembakaran mayat pesakit Covid-19.

Ia selepas peningkatan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu menyebabkan tiada ruang untuk tujuan pembakaran mayat. BBC melaporkan petugas krematorium terpaksa bekerja tanpa rehat untuk membakar mayat, manakala tiada ruang kosong untuk tujuan berkenaan.

Ahli keluarga pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 pula terpaksa menunggu berjam-jam untuk pembakaran mayat ahli keluarga mereka.

Di krematorium Sarai Kale Khan di sini, sekurang-kurangnya 27 tempat pembakaran baharu dibina. Puluhan lagi tempat pembakaran dibina di taman berhampiran. Pihak berkuasa juga mencari ruang tambahan berhampiran Sungai Yamuna di bandar ini.

Seorang pekerja di krematorium, yang pada awalnya hanya mampu memuatkan 22 mayat, memberitahu akhbar The Hindu bahawa mereka beroperasi secara berterusan dari awal pagi hingga tengah malam.

Di New Delhi, pihak berkuasa dilaporkan menebang pokok di taman bandar untuk digunakan membakar mayat. Selain itu, saudara-mara kepada si mati juga diminta untuk menolong pembakaran mayat dengan memunggah kayu dan menolong ritual lain.

India kini terjejas teruk akibat penularan gelombang kedua Covid-19. Kes harian Covid-19 di India terus merekodkan peningkatan dalam tempoh 10 hari lalu dengan 352,991 kes baharu dicatatkan pada Isnin. Ia sekali gus jumlah kes harian tertinggi pada peringkat global sejak penularan pandemik berkenaan. Setakat ini, India merekodkan 17.3 juta kes Covid-19 dengan lebih 195,000 kematian. – HM Online