Input your search keywords and press Enter.

Kes Kompaun Pelajar Tidak Memakai Pelitup Muka Selesai

M Update, 28/04/2021 – Kes enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang tular kerana dikenakan kompaun akibat tidak memakai pelitup muka sudah diselesaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak kolej, Pusat Kesihatan Kampar dan Pengarah Kesihatan Perak, baru-baru ini dan satu keputusan diambil, iaitu pelajar terbabit tidak perlu membayar kompaun dikenakan.

“Untuk makluman semua, pelajar ini mereka tidak perlu membayar apa-apa pun dan saya beri jaminan kes ini akan selesai. Keputusan yang dicapai dan mendapat kerjasama semua pihak ini sangat baik dan membantu pelajar yang datang dari keluarga asnaf.

“Justeru, isu ini tidak perlu lagi diulang atau diperbesarkan demi memberi ruang kepada enam pelajar terbabit untuk menduduki peperiksaan dengan tenang,” katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Daerah Selama, semalam.

Katanya, terdahulu pihaknya turut berkesempatan berjumpa dengan bapa salah seorang pelajar berkenaan bagi memberikan semangat untuk mereka sekeluarga dan turut memberikan jaminan kes itu akan selesai segera. Beliau turut menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada 19 April lalu, enam pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng dikenakan kompaun RM1,500 oleh Pegawai Kesihatan KKM kerana tidak memakai pelitup muka dan meletakkannya di bawah dagu.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati enam pelajar berkenaan dan melalui ciapan seorang pemilik akaun yang tular meluahkan rasa kesal dengan tindakan kompaun berjumlah RM1,500 sedangkan elaun yang mereka terima bagi tempoh enam bulan hanyalah RM1,250.

Pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej itu sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar. – BH Online