M Update, 30/04/2021 – Haram hukumnya melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, seperti yang ditetapkan kerajaan, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Beliau berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun. Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.
“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram. Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?
“Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong. Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran),” katanya.
Luqman berkata, perbincangan panjang mengenai hukum boleh dibuat bagaimanapun dalam menangani penularan COVID-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.
“Sekiranya untuk kebaikan, sebagai rakyat ia perlu diikuti. Jika tidak risiko (disebabkan jangkitan) adalah tinggi,” katanya.
“Saya sudah mendapat surat (kebenaran rentas negeri) polis tetapi apabila seluruh daerah di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa berfikir semula. Jika balik, mungkin saya (dijangkiti) atau menjangkiti mereka di sana jadi saya tidak ke Kelantan dan hanya menjalani mesyuarat secara dalam talian.
“Jika ada keperluan, bolehlah merentas negeri dan kerajaan juga membenarkannya jika ada keperluan tetapi jika hanya untuk tujuan sosial, ia akan hanya membawa risiko yang tinggi,” katanya.
Luqman berkata, beliau sendiri sepatutnya ke Kelantan untuk menghadiri mesyuarat baru-baru ini tetapi membatalkannya bagi mengelak sebarang risiko jangkitan. – BH Online