Input your search keywords and press Enter.

Ibu Mengandung, Menyusu Hanya Disyor Vaksin Pfizer

M Update, 19/05/2021 – Ibu mengandung dan menyusukan anak hanya disaran mengambil vaksin COVID-19 keluaran Pfizer, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit tidak mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.

“Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan.

“Bagi ibu menyusu juga sesuai untuk mengambil vaksin Pfizer. Vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu mengandung dan yang menyusukan anak kerana data keselamatan mereka adalah terhad.

Bagi mereka yang ada keraguan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing,” katanya. – BH Online