Input your search keywords and press Enter.

Akibat Aktiviti Berbuka Puasa, 78 Individu Positif COVID-19

M Update, 19/05/2021 – Aktiviti berbuka puasa yang hanya membabitkan 20 individu mencetuskan Kluster Bukit Pauh di Dungun, di sini, dengan 78 didapati positif COVID-19, manakala 496 lagi dikesan sebagai kontak rapat.

Kes yang berlaku kemudiannya merebak ke Kuala Terengganu apabila dua individu disahkan positif virus itu selepas menghadiri majlis diskusi dan moreh bersama beberapa individu yang positif di sebuah kedai makan di kawasan bandar raya Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kes harian COVID-19 di negeri itu mencatatkan tiga angka dalam tempoh dua hari mulai semalam, dan dianggarkan akan terus kekal sehingga hari ini. Setakat ini, beliau berkata, seramai 14 pesakit dijangkiti virus berkenaan sedang menjalani rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Apapun pihak hospital tidak terkejut kerana disebabkan tatakelakuan masyarakat sendiri yang memberi ruang dan peluang pandemik COVID-19 ‘bersuka ria’ di negeri ini. Saya kongsi kisah kluster yang mengesahkan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini berlaku dengan begitu pantas,” katanya melalui catatan di Facebook semalam.

Dr Nor Azimi berkata, kes di daerah Marang sehingga kini menyebabkan 26 individu positif virus, manakala 283 lagi dikesan sebagai kontak rapat berlaku pada majlis berbuka puasa di sebuah surau.

“Mereka memasak menyediakan juadah berbuka puasa beramai-ramai dan melakukan pelbagai aktiviti sebelum menyambut ketibaan Aidilfitri Khamis lalu dan akhirnya terpaksa menyambut Syawal di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Saya juga ingin berkongsi maklumat mengenai kegiatan lepak-melepak membabitkan 18 individu di sebuah rumah kosong di Setiu dengan 17 daripada mereka dan ahli keluarga disahkan positif, manakala seramai 162 lagi kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata, berpuluh lagi kisah punca berlakunya penularan virus itu boleh dikongsi dan dijadikan iktibar untuk mengesahkan tiada pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

SOP semua ‘ke laut’… sebab apa ‘ke laut’, sebabnya mereka tak cakna, bersikap sambil lewa dan memperlekehkan pematuhan yang mereka anggap sebagai rekaan dan menyusahkan,” katanya. – BH Online