M Update, 20/05/2021 – Keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dijangka dibincangkan esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia akan dibincangkan dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya.
Beliau berkata mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang itu akan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri. Katanya, PKP penuh antara langkah yang perlu difikirkan oleh MKN.
“Akan dibincangkan (esok) untuk diputuskan,” katanya pada sidang media ketika hadir sama ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.
Takiyuddin berkata, Kerajaan Pusat melihat penularan COVID-19 adalah satu perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik kelmarin jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta. Manakala kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita merasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selama ini kita mengambil langkah dengan mengadakan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sama ada secara keseluruhan atau bersasar bergantung kepada keadaan untuk mengekang penularan COVID-19,” katanya – BH Online